Indah Dalam Terpencil

Guru wanita pertama di sebuah perkampungan Orang Asli berkongsi pengalaman hidup mengajar anak-anak istimewa.

Jalannya pula, ada berbatu, berpasir, berlumpur dan berlubang-lubang serta berbukit-bukau. Manakala hutannya memang agak tebal dan selalu menakutkan aku. Ular dan babi hutan adalah antara haiwan yang selalu membuat lintas hormat sehingga aku dan motorsikalku kucar-kacir dibuatnya. Jalannya pula, ada berbatu, berpasir, berlumpur dan berlubang-lubang serta berbukit-bukau. Manakala hutannya memang agak tebal dan selalu menakutkan aku. Ular dan babi hutan adalah antara haiwan yang selalu membuat lintas hormat sehingga aku dan motorsikalku kucar-kacir dibuatnya.


Biarlah aku kenalkan namaku sebagai Bungolale sahaja. Aku dilahirkan di sebuah daerah di negeri Pahang tetapi dibesarkan di negeri Kelantan. Mengajar di sebuah sekolah Orang Asli, nun jauh di pedalaman sana pula; langsung tidak pernah terlintas dalam imaginasi aku.

Ceritanya bermula setelah setahun mengikuti Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI), aku menerima surat penempatan pertamaku di BTPN Kuantan, Pahang. Tertera jelas di surat itu, nama sekolah dan diikuti dibelakangnya dalam kurungan adalah JHEOA atau nama penuhnya Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (kini sudah ditukar kepada JAKOA – Jabatan Kemajuan Orang Asli).

Ketika itu, aku langsung tiada gambaran bagaimana keadaan sekolah ini. Ketika diberitahu sekolahku nanti aksesnya cumalah kenderaan pacuan empat roda dan motorsikal sahaja dan kadangkala, pacuan empat roda juga tidak dapat melepasi ke sekolah kerana terbenam dalam selut, aku menjadi kecut perut.

Jadi, pada hari pertama aku melapor diri di sekolah; aku dipinjamkan sebuah motorsikal lama guru lelaki yang sudah tidak diguna pakai lagi kerana mereka telah berhijrah kepada motor yang lebih besar kuasanya; scrambler.

Selain aku yang bakal menggalas gelaran guru wanita pertama di situ; ada Miss F yang ditempatkan sekali bersama aku.

4 Januari 2010, menjadi satu tarikh keramat yang akan aku ingat sampai bila-bila. Itulah harinya, aku dan Miss F menunggang sendiri motor yang dipinjamkan kepada kami untuk masuk ke sekolah. Kami berdua dan sekumpulan guru lelaki masuk ke sekolah bersama-sama.

Aku dan Miss F tidak mempunyai lesen pun ketika itu, dan kemahiran menunggangku sangat terhad. Apatah lagi ketika itu aku perlu menunggang motorsikal dalam keadaan jalan ‘off road’.

Kawasan ini, jauh terpencil ke dalam hutan. Untuk sampai ke sini, cuma hanya boleh dengan pacuan empat roda dan motorsikal. Itupun kadangkala kalau hari hujan, jalan akan menjadi sangat berselut sehinggakan pacuan empat roda juga akan tewas. Jalannya pula, ada berbatu, berpasir, berlumpur dan berlubang-lubang serta berbukit-bukau. Manakala hutannya memang agak tebal dan selalu menakutkan aku. Ular dan babi hutan adalah antara haiwan yang selalu membuat lintas hormat sehingga aku dan motorsikalku kucar-kacir dibuatnya. Harimau adalah antara haiwan yang menghuni hutan ini, walaupun aku tidak pernah terserempak tapi kewujudannya diakui oleh beberapa orang pegawai yang terserempak sendiri.

Hujan renyai petang itu, menjadi saksi kepada beberapa kali aku jatuh dan bangun. Jatuh dan bangun. Jatuh dan bangun lagi. Setelah hampir 4 jam menempuhi jalan yang begitu mencabar dan dalam hujan renyai, maka kami pun tiba di sekolah.

Itulah perjalanan yang kami akan tempuh setiap kali masuk dan keluar dari sekolah. Kami akan masuk ke sekolah pada petang Ahad dan hanya akan keluar selepas sesi persekolahan hari Jumaat. Untuk hari-hari persekolahan, kami akan tinggal di kuarters guru berhampiran sekolah.


Ketika pertama kali tiba, sekolah itu tidak ada bezanya dengan sekolah di luar sana. Bangunannya cantik, begitu juga dengan kuartersnya. Cuma, setelah itu barulah aku tahu bahawa kami tiada bekalan air dan elektrik di sini. Air yang digunakan adalah air paip yang disalurkan terus dari sungai manakala elektrik pula bergantung kepada ‘genset’ yang cuma akan dihidupkan pada jam 7 petang dan dimatikan pada jam 12 malam.

Keesokannya, aku dan Miss F melapor diri di sekolah. Di dalam kepalaku ketika itu membayangkan kemeriahan hari pertama sesi persekolahan baru dibuka. Meriah. Dengan murid-murid datang ke sekolah, bersama ibu bapa dan berpakaian baru. Aku jadi tidak sabar-sabar mahu melihat wajah bakal anak-anak murid aku ketika itu. Walaupun ketika di sekolah menengah aku sudah bergaul dengan anak-anak Orang Asli, tapi yang ini tentulah berbeza kerana mereka adalah anak murid aku.

Akan tetapi, apa yang aku bayangkan ketika itu meleset sama sekali. Dalam hujan renyai, hanya beberapa murid yang kelihatan. Datang sendiri. Tiada pakaian baru, malahan ada yang berselipar dan berkaki ayam sahaja. Melihat wajah-wajah polos mereka ketika itu, aku menjadi sangat terharu dan semangat aku membara untuk menyampaikan ilmu kepada mereka.

Menjadi guru wanita pertama di situ; apa sahaja yang aku dan Miss F pakai akan menjadi perhatian murid-murid. Baju, tudung, stoking kulit malahan kerongsang juga. Mereka juga begitu teruja dengan kasut bertumit kami, yang kadangkala mereka akan curi-curi pakai bila sahaja kami menanggalkan kasut untuk masuk ke pejabat sekolah.

Cabaran utama aku pada ketika itu adalah bahasa. Memandangkan aku mengajar kelas tahun satu, masalah bahasa memang masalah utama untuk aku berkomunikasi dengan mereka. Mereka menggunakan bahasa Semai untuk bertutur. Setiap arahan aku tidak sampai kepada pemahaman murid-murid. Malah kadangkala aku terpaksa menggunakan bahasa isyarat untuk meminta mereka membuat sesuatu. Perbualan kami kadangkala seperti ayam dan itik sahaja.

Maka itu, aku cuba belajar sedikit-sedikit bahasa Semai. Beberapa ayat yang mudah untuk aku fahami permintaan mereka seperti ‘saya nak buang air kecil’ atau dalam bahasa Semai ‘eng hot nanom’ atau ‘saya hendak buang air besar’ dalam bahasa Semai di sebut ‘eng hot cacoh’ dan perkataan-perkataan seperti apa khabar (ma igah), baik/bagus/cantik (bor), jangan bising (ga bising), duduk (kus), bangun (geiy), datang ke sini (bei madeh), pergi ke sana (chip mareh) dan lain-lain.

Tapi bagi aku, perkataan pertama yang patut aku belajar adalah dua perkataan yang aku sebut tadi; eng hot nanom dan eng hot cacoh. Kerana aku telah mengabaikan perkataan itulah maka pada hari pertama aku bergelar guru itu maka aku terpaksa membasuh air kencing murid tahun satu kerana aku gagal memahami permintaan mereka ketika itu.

Murid di sini tidak ramai, tidak pernah mencecah angka 100 dari kelas pra sekolah sampai tahun enam. Jadi, dalam tempoh seminggu sahaja aku sudah dapat menghafal nama mereka berserta nama panggilan mereka sekali.

Setelah mengenali serba sedikit tentang murid, barulah aku memberanikan diri untuk mendekati masyarakat. Rata-rata penduduk di sini tidak mempunyai pendapatan. Apa yang mereka lakukan untuk menyara ahli keluarga adalah dengan bercucuk tanam dan mencari hasil hutan sahaja

Makanan harian mereka selalunya ubi kayu, pucuk ubi kayu dan rebung yang dijadikan lauk. Kadangkala mereka tumbuk cili dengan garam dan dimakan bersama nasi.

Orang-orang kampung agak pemalu orangnya. Tapi akulah yang selalu buat tak malu menjemput diriku sendiri ke rumah mereka untuk sekadar bertegur sapa dan berbual-bual. Walaupun awalnya mereka agak kekok, tetapi lama-kelamaan mereka sudah boleh menerima kehadiran aku di sini.


Terlalu banyak insiden yang aku tidak boleh lupa. Boleh jadi ianya tentang perjalanan aku masuk keluar ke sekolah yang mana awal-awal dahulu setiap minggu bagaikan tidak sah kalau aku tidak jatuh motor. Setiap minggu aku kena tukar cermin motor baru. Setiap minggu ada sahaja lebam dan luka baru di badan akibat terjatuh motor. Pernah satu ketika, aku jatuh agak teruk. Jalan agak licin dan motor aku gagal mengawal motor. Aku jatuh kuat sampai terasa sakit dia buat aku terdiam tidak bergerak sejenak sehingga kawan-kawan panik menyangka aku telah pengsan. Lutut aku terhentak ke batu. Tapi dalam sakit itu aku terpaksa juga bawa motor sampai ke luar untuk mendapatkan rawatan kerana di sini memang tiada sebarang klinik.

Selain itu, apa yang agak menginsafkan aku apabila aku dan Miss F mengikut anak-anak kampung yang kampung mereka terletak lebih jauh ke dalam hutan dari sekolah. Perjalanan memakan masa dua jam kurang lebih, mereka girang berlari berselipar jepun dan berkaki ayam. Kadang-kadang mereka berhenti dan menjerit agar aku dan Miss F cepat sikit. Perjalanan mereka menempuh hutan tebal, bukit-bukau dan juga sungai. Rumah mereka terletak di sebalik bukit, rumah tradisional yang dibina dengan menggunakan buluh sebagai lantai dan dinding dan daun serdang sebagai bumbung.

Anak-anak ini apabila sampai di kampung terus bergegas ke rumah masing-masing. Ada yang sibuk memasak kerana lapar, ada yang bertugas menjaga adik kerana ibu dan bapa ke kebun dan ada yang tertidur pulas dengan selut penuh di kaki di hujung dapur kerana kepenatan.

Ibu bapa yang ada di rumah memang agak malu untuk mempelawa kami naik ke rumah, jadi aku selalu menjemput diriku untuk naik sendiri. Mereka beritahu mereka malu akan keadaan rumah mereka yang ‘tak cantik’ , tapi bila kita mula berbual lama kelamaan mereka mula dapat mengikis perasaan malu dan menerima kehadiran kami dengan ramah.

Pernah kami dihidangkan dengan makan tengahari yang berupa nasi dengan lauk pucuk ubi goreng atau rebung yang direbus bersama ubi kayu bakar (aromanya sangat wangi dan aku sangat suka makan bersama air kopi), untuk melengkapkan hidangan mereka akan tumbuk cili bersama garam. Dihidangkan bersama air teh panas. Untuk menghidangkan makanan kepada kami, mereka akan pilih pinggan mangkuk dan cawan yang ‘cantik’ daripada simpanan sedangkan mereka hanya makan menggunakan pinggan dan cawan plastik sahaja. Begitulah, dalam segan mereka tetap sedaya upaya cuba melayan tetamu walaupun tidak diundang.

Kini, diam tak diam sudah hampir sembilan tahun aku di sini. Beberapa kemodenan mula menjengah apabila sebahagian jalan sudah diturap, sekolah pula mendapat elektrik 24 jam dengan terbinanya Stesen Solar Hibrid yang membekalkan tenaga ke kuarters dan sekolah.

Sepanjang itu, terlalu banyak peristiwa suka dan duka aku sejak bergelar guru di sini. Kalau dahulu semuanya aku coretkan di blog, tetapi kini seiring dengan zaman – semuanya aku kongsikan di akaun instagram khas yang aku dedikasikan untuk mereka. Awalnya, aku sekadar memuat naik sebagai kenangan dan rujukan aku pada suatu hari nanti. Tetapi, lama-kelamaan banyak respon yang aku terima; yang masih tidak sedar bahawa masih ada mereka yang hidup jauh di dalam hutan, jauh daripada kemodenan, jauh daripada kemudahan. Jadi itulah antara faktor yang menyebabkan aku aktif di sosial media. Semoga ianya memberi dan manfaat dan membuka mata semua tentang kehidupan masyarakat Orang Asli yang masih ramai orang tidak tahu.

Walaupun di sebalik keterpencilan ini, anak-anak kami tidak jauh ketinggalan dan tidak pernah tercicir. Banyak kejayaan yang telah kami kecapi, walaupun ianya mungkin tidak besar di mata orang tetapi sudah tentulah terbaik bagi kami sebagai pendorong kejayaan seterusnya buat anak-anak di sini.

Aku sangat berharap agar perjuangan kami di sini dapat sedikit sebanyak menyumbang ke arah masa depan mereka, keluarga mereka dan bangsa mereka khususnya.

bungolale